Published on Berita Harian Singapura (21 Jan 2024)

Dah azam takkan duduk diam?

Pentingnya langkah proaktif dan tindakan bertanggungjawab

Kehidupan kita ini setiap tahun pasti ada pasang surutnya. Tidak terkecuali juga tahun lepas, 2023.

Kita amat bersyukur pandemik Covid-19 tidak lagi meragut jutaan nyawa seperti dahulu, dan kita terus mengambil sebanyak mungkin pengajaran daripada pengalaman ini.

Namun, dunia masih menghadapi berbagai-bagai lagi cabaran yang lain. Antaranya, ketegangan geopolitik dan peperangan. Terutama apa yang sedang berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza, yang amat membimbangkan, menghiris hati, jiwa dan perasaan.

Selain itu, ekonomi negara kita kini berada dalam persaingan global yang semakin ketat. Tidak lupa juga perubahan iklim yang terus menggugat kewujudan dan mengancam keberadaan kita.

Harapan Tahun Baru 2024 dan Bulan Rejab 1445H

Meskipun begitu, seorang Mukmin sejati tidak akan mudah berputus asa dalam keadaan serumit mana sekali pun.

Kita masih lagi berada di awal tahun, Januari 2024. Masih lagi ada waktu untuk mengambil langkah proaktif, memikirkan dan merancangkan harapan dan impian murni kita buat tahun ini.

Pada waktu yang sama, kita juga telah memasuki Rejab, sebelum nanti datangnya Syaaban dan bulan mulia Ramadan.

Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram yang suci. Secara umumnya kita digalakkan meninggalkan kemungkaran dan memperbanyakkan amal soleh, seperti berpuasa, beristighfar dan berzikir, sebagai permulaan persiapan menyambut Ramadan.

Selain itu, saat ini adalah sesuai untuk kita mula merealisasikan harapan dan impian kita, serta memperbaiki diri secara menyeluruh, termasuk dalam aspek mental, fizikal, rohani, emosi, sosial dan sebagainya.

Allah swt juga berpesan dalam Al-Quran bahawa kitalah seharusnya yang mengambil langkah dan tindakan untuk mengubah keadaan dan nasib diri kita sendiri. Firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11).


Mengapa kita perlu mengambil langkah dan tindakan proaktif?

Dalam satu kajian yang dinamakan Strava Quitters Day, didapati bahawa seramai 80 peratus daripada mereka yang membuat resolusi tahun baru akan berhenti dan berputus asa menjelang akhir bulan Januari.

Justeru, mengambil tindakan adalah kunci penting dalam mencapai harapan dan impian kita di tahun baru. Ini kerana mengambil tindakan akan:

  • Mewujudkan perubahan: Tindakan yang jelas membawa kita menuju perubahan yang diinginkan dalam hidup.

  • Membangunkan momentum: Setiap tindakan kecil yang diambil membangunkan semangat dan motivasi untuk terus maju dan mencapai hasil yang lebih besar.

  • Mengatasi ketakutan dan keraguan: Dengan mengambil tindakan, kita membuktikan kepada diri sendiri bahawa kita mampu menghadapi tentangan dan mengatasi ketakutan yang menghalangi kita.

  • Mencipta peluang: Tindakan proaktif membuka pintu bagi peluang baru dalam pekerjaan, hubungan, dan pencapaian peribadi.

  • Membangunkan keyakinan diri: Dengan melihat hasil daripada tindakan yang diambil, kita membangunkan keyakinan diri untuk menghadapi tentangan dan mencapai tujuan yang kita impikan.


Contoh Langkah Dan Tindakan Menyeluruh Dalam Kehidupan Seharian Kita

Dalam sejarah Islam, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat Baginda mengambil pelbagai langkah dan tindakan proaktif.

Salah satunya adalah langkah mereka dalam memperjuangkan keadilan sosial. Mereka bukan hanya menyebarkan ajaran agama Islam, malah berjuang menghapuskan ketidakadilan dan penindasan dalam masyarakat.

Sebagai contoh, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat Baginda melawan sistem kasta yang membezakan antara orang kulit gelap dengan kulit cerah, berjuang melindungi hak wanita, menegakkan keadilan dalam masyarakat, dan banyak lagi.

Mereka menegaskan bahawa semua manusia adalah sama di hadapan Allah swt dan bahawa keutamaan seseorang hanya ditentukan oleh ketakwaannya, sesuai dengan ajaran Al-Quran.

Kita sebagai individu juga boleh mengambil langkah-langkah proaktif yang sama untuk memperbaiki diri kita sendiri.

Contohnya, demi menjaga tubuh badan kita yang diamanahkan Allah swt ini, kita perlu mementingkan pemakanan berkhasiat yang tinggi zat dan seimbang. Begitu juga dengan bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu seperti yang disarankan.

Demi mempertingkatkan pemahaman agama kita pula, hadirilah kelas-kelas agama yang bertauliah di masjid-masjid serata Singapura, seperti program aLIVE untuk kanak-kanak dan program Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL).

Antara lain, sentiasa memperkukuh niat, menguatkan hubungan kita dengan Tuhan, atau berjumpa kaunselor terlatih apabila mental dan emosi kita terlalu tertekan, sepertimana kita akan berjumpa doktor apabila tubuh badan sakit.

Ini semua antara contoh langkah bertanggungjawab demi mencapai azam tahun baru yang boleh kita ambil sebagai individu.

Sebagai sebuah masyarakat majmuk juga, kita perlu mengambil langkah proaktif demi kesejahteraan masa depan bersama.

Sebagai contoh, Rancangan Hijau Singapura 2030 adalah gerakan nasional untuk pembangunan dalam menghadapi perubahan iklim yang menggugat kewujudan kita.

Rancangan itu mencakup berbagai-bagai daya utama, seperti menanam lebih banyak pokok, meningkatkan penggunaan tenaga suria, mengurangkan sampah dan mengamalkan kitar semula.

Ini juga sebenarnya merupakan tanggungjawab kita bersama, sepertimana firman Allah swt: “Sesungguhnya Aku (yakni Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. (Surah Al-Baqarah, ayat 30).

Sebagai contoh lain dalam aspek membantu mereka yang memerlukan pula, masyarakat Singapura secara bersama telah menyumbangkan lebih $6.7 juta dalam waktu singkat kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) yang bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Ini bagi menyokong usaha kemanusiaan buat masyarakat yang terjejas dalam peperangan yang masih berlaku di Gaza.

Konsep Istikharah dan Tawakkal

Namun, apabila kita dihadapkan dengan berbagai-bagai pilihan dan cara mengambil langkah atau tindakan, penting untuk melakukan istikharah. Berdoalah kepada Allah swt untuk meminta petunjuk apakah pilihan yang kita ambil adalah yang terbaik bagi kita.

Setelah itu, kita perlu melaksanakan usaha yang terbaik, kemudian berserah diri dan bertawakal kepada-Nya, mempercayai bahawa Allah swt akan memberikan hasil terbaik bagi kita.

Kesimpulan

Dalam menyambut harapan tahun baru dan Rejab ini, mari kita mengambil langkah proaktif dan tindakan yang bertanggungjawab dalam meningkatkan kesejahteraan kehidupan kita secara menyeluruh.

Sebelum memilih jalan atau tindakan, lakukanlah istikharah sebagai bentuk doa kepada Allah swt untuk meminta petunjuk-Nya. Berikan yang terbaik dari diri kita dan berserah diri kepada Allah, yakin bahawa Dia akan memberikan hasil terbaik bagi kita.

Ingatlah pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”, dan “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Salam Rejab yang penuh berkat, semoga kita semua mendapatkan keberkatan dalam setiap langkah proaktif dan tindakan bertanggungjawab kita menuju harapan serta impian baru kita, dan semoga kita semua bertemu dengan bulan mulia Ramadan, amin.

Previous
Previous

MuslimSG: Top health and fitness tips from Prophet Muhammad

Next
Next

BH: Memberi Sepanjang Tahun