Published on Berita Harian Singapura (6 Nov 2015)
Wacana
Memberi sepanjang tahun
USTAZ MUHD FAKHRUR RADZI MOHD NOOR
Nov 06, 2015 | 05:30 AM
GALAK BERI SUMBANGAN: Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram (empat dari kiri) di majlis menggalakkan masyarakat Islam memberi sumbangan kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid (JPM) Woodlands. - Foto fail
MEMBERI tidak kira dalam bentuk sedekah, infak, zakat ataupun bantuan merupakan sesuatu yang amat dituntut dalam syariat Islam.
Firman Allah swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat 276: "Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah dan zakat."
Amalan memberi atau bersedekah masyarakat Islam ini boleh dilihat jelas dalam Ramadan. Banyak gerai bagi memungut dana di bazar Ramadan. Badan Islam juga tidak melepaskan peluang mencari dana, misalnya Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan sebagainya.
Di serata masjid Singapura ketika Ramadan pula, jumlah orang yang membayar zakat harta, menderma, menaja jamuan berbuka dan sebagainya begitu ramai sekali berbanding dengan bulan yang lain.
Namun, bagaimanakah semangat dan amalan memberi ini boleh kita teruskan sepanjang tahun serta menjadikannya gaya hidup yang mulia sebagai Muslim yang berjaya di Singapura?
Pemberian Secara Automatik
Dengan adanya kemajuan teknologi, sumbangan kini boleh dilakukan dengan pelbagai cara.
Sebagai contoh, pembayaran zakat kini boleh dilakukan menerusi beberapa wadah antaranya melalui laman web, mesin AXS, iBanking dan sebagainya. Begitu juga masjid ataupun badan menyediakan khidmat menerima dana bulanan menerusi potongan Giro.
Ia merupakan suatu wadah yang baik jika kita mempunyai niat menderma setiap bulan secara automatik tanpa perlu memikirkan mengeluarkan wang sendiri setiap bulan.
Pahala Yang Berterusan
Dalam masa yang sama, kita juga perlu peka bahawa ada bentuk pemberian yang ganjarannya berterusan walaupun setelah kita meninggalkan dunia.
Dalam riwayat Imam Muslim, Rasulullah saw pernah bersabda: "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya."
Antara sedekah jariah yang termasuk di dalam hadis ini juga adalah dengan pemberian wakaf.
Di Singapura, kita mempunyai pilihan memberi wakaf kepada masjid baru yang akan dibina seperti Masjid Maarof di Jurong West dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands atau masjid dinaik taraf.
Selain wakaf kepada masjid, ada konsep Wakaf Ilmu di mana wang yang diberikan akan dilaburkan berlandaskan syariah dan hasil daripada pelaburan tersebut kemudian diberikan kepada madrasah setempat.
Secara Individu Kepada Keluarga
Ada juga bentuk pemberian lain yang boleh kita lakukan serta menjadikannya gaya hidup yang sihat. Allah swt berfirman di dalam surah At-Talaq ayat 7: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya..."
Di dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah saw pernah bersabda: "Satu dinar yang engkau infakkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau infakkan bagi membebaskan hamba, satu dinar yang engkau nafkahkan bagi keluargamu; yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan bagi keluargamu."
Dalam riwayat Imam Ahmad pula, pernah seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw: "Wahai Rasulullah, sedekah apa yang paling baik?" Baginda menjawab: "Pemberian kepada orang yang memerlukan. Mulailah dengan keluargamu."
Di sini kita lihat kepentingan mendahulukan keluarga, apatah lagi jika ada di antara mereka yang memerlukan. Setiap pemberian, baik daripada bentuk makanan mahupun wang itu ada pahalanya, sehingga sekadar sesuap nasi yang disuapkan suami kepada isterinya.
Secara Keluarga Kepada Masyarakat
Sebagai individu, memberi kepada keluarga secara berterusan sepanjang tahun adalah suatu yang amat digalakkan di dalam Islam. Namun, lebih baik lagi jika kita mampu mendidik sekalian ahli keluarga demi menanamkan sifat memberi dalam diri mereka.
Ketika Mufti Sohibbus Samaha Dr Mohamed Fatris Bakaram menyampaikan tazkirahnya sewaktu pelancaran kempen Ramadan 2015 di Masjid Tentera Di-Raja Jun lalu, beliau menggalakkan kita menyemai sifat bersedekah sebagai sebuah keluarga.
Antara saranannya adalah agar setiap rumah dapat menyediakan sebuah 'tabung keluarga' yang diletakkan di kawasan umum di dalamnya, kemudian setiap anggota keluarga boleh meletakkan baki wang yang mereka ada setiap hari di dalam tabung tersebut.
Setelah beberapa tempoh yang telah disepakati, sebagai contoh setiap akhir bulan, semua wang di dalam tabung tersebut boleh diberikan secara keluarga kepada orang atau badan yang memerlukan.
Amalan baik ini mampu menyemai semangat memberi dan membantu mereka yang memerlukan dalam diri anak-anak serta ahli keluarga yang lain.
Secara Individu Kepada Masyarakat
Amalan memberi sebenarnya tidaklah terhad hanya kepada waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, kita boleh amalkan gaya hidup memberi secara spontan apabila terlihat ada sukarelawan yang memegang tabung berserta pelekat logo bagi mengutipkan dana pertubuhan tertentu.
Begitu juga ketika keluar makan bersama rakan sekerja mahupun sekolah pada waktu rehat. Ambillah peluang ini memberi, contohnya dengan memberikan mereka air minuman, kuih-muih atau sebagainya.
Sesungguhnya ini dapat mengeratkan hubungan sesama kita seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw di dalam hadis riwayat Imam Bukhari: "Berilah hadiah nescaya kamu akan saling mengasihi."
Kesimpulannya, perancangan baik perlu demi menghidupkan budaya memberi - baik sedekah, infak mahupun zakat - secara maksimum sepanjang tahun dalam diri dan keluarga kita.
Di samping itu, kita perlu ada keyakinan bahawa memberi itu tidak akan sekali-kali mengurangkan kita, malah Allah swt akan mengembalikannya dengan pulangan yang lebih lumayan, bukan sahaja di dunia malah di akhirat.
Penulis Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Sosial di Masjid Al-Mukminin.